DISEMBER 2023

Kerajaan Sarawak Salurkan RM90.42 Juta Kepada Ptptn, Langsai Hutang Peminjam


KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyalurkan sebanyak RM90.42 juta bayaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menyelesaikan 30 peratus hutang peminjam dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah itu diterima sejak PTPTN dan Yayasan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak 5 Mac 2021.

“Yayasan Sarawak sekali lagi menyalurkan peruntukan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak-anak Sarawak berjumlah RM12.43 juta dan dianggarkan sebanyak 3,000 peminjam yang layak akan menerima insentif itu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak berjumlah RM90.42 juta yang memanfaatkan lebih 25,000 peminjam PTPTN dalam kalangan anak Sarawak,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek bagi bayaran terbaharu di bawah insentif berkenaan daripada Yayasan Sarawak bagi baki hutang peminjam PTPTN dari negeri itu yang diadakan di Menara PTPTN Kuala Lumpur.

Replika cek telah diserahkan Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Sarawak Louis Simon Peter kepada Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sehubungan itu, Norliza berharap agar pemberian insentif bayaran balik pinjaman kepada anak Sarawak diteruskan lagi pada masa akan datang sekali gus membantu merealisasikan impian generasi akan datang dalam pendidikan tinggi.

Sumber dari : Jiwa Bakti